Minggu, 17 Februari 2013

Siti Nurhaliza Masih Bercuti


Disember lalu, kita dikejutkan dengan berita kemalangan yang menimpa suami Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K ketika menunggang motosikal berkuasa besar di New Zealand. Siti yang ketika itu terlibat dengan siri jelajah konsert di Indonesia terpaksa membatalkan konsertnya di Banjarmasin pada saat-saat akhir.

Rentetan kejadian tersebut, Siti mengambil keputusan untuk berehat sebentar daripada sebarang persembahan untuk beberapa bulan demi menjaga suami tercinta. Siti ingin fokus dengan kesihatan Datuk K yang belum pulih sepenuhnya walaupun berada dalam keadaan memuaskan.

“Alhamdulillah Datuk K semakin hari semakin pulih. Namun saya ingin berada di sisinya setiap hari untuk menemaninya lakukan fisioterapi. Lagipun, kecederaan tangan kanannya memerlukan saya untuk membantunya setiap masa,” ujar Siti ketika ditemui di sidang media Minggu setiausaha di Hotel Royale Chulan pada Rabu.
Sambil berseloroh, Siti berkata sepanjang tempoh bercuti ini barulah dia merasakan kesusahan bergelar suri rumah sepenuh masa. Siti mengakui tanggungjawab sebagai suri rumah bukanlah perkara mudah yang boleh dipandang remeh oleh sesetengah pihak.

Sementara itu Siti turut mengulas tentang pemakaian tudungnya yang tidak lagi menunjukkan sebahagian rambut. Jelas Siti, dia mendapat sokongan sepenuhnya daripada Datuk K. Siti berkata sempena harijadinya yang ke 34, dia mengambil keputusan untuk berhijrah ke arah yang lebih baik setelah mendapat hidayah dari Allah, berkat doa peminat.

“Alhamdulillah saya bersyukur dengan perubahan ini, namun saya masih ada kekurangan dan banyak yang perlu diperbaiki lagi," luah siti yang turut mengagumi bakat-bakat seperti Yuna dan Shila Amzah yang dilihat mampu pergi jauh walaupun dikenali dengan imej berhijab.
sumber : gua.com.my

Tidak ada komentar:

Posting Komentar